04 February 2008

~~Sebentar Lagi Kita Pasti Tidur Lena~~

Di hambat lewat petang yang kian murung, langit biru menjadi semakin kelabu dan aku masih terus menjadi mat jenin merangka esok yang kelam. Ketakutan meredah arus sungai yang kian lesu membingungkan secebis hati bertanyakan khabar mereka tika lena diselubungi mimpi gerun yang panjang.

Mata ini semakin tajam menonton melalui mikroskop atas nama mencari jati diri yang terhuyung hayang. Kadang kala terasa lesu, bila tibanya melihat lautan manusia bah melanda dataran tanah yang rata. Hati terus di asak oleh gelombang maut jeritan REFORMASI.

Aku tidak sehebat penulis bertaraf sasterawan negara, apatah lagi menggegar isi hati marhaen seperti lantangnya suara Hishamudin Rais, Amin Black, Kamal Amir dan ramai lagi diluar sana. Mata penaku tumpul mengatur buah langkah seperti mereka yang ternama.

Seperti mengejar bayang bayang, aku hanya mahu menjadi benteng bersama perjuangan Bapa Reformasi 'Anwar Ibrahim'. Apa kena dengan orang tua itu? Setiap petah katanya menghantar aku ke medan perang, memakaikan aku perisai baldu. Dia hanya anak watan yang cintakan bangsa dan negaranya, pernah juga dia dihumban ke dalam sel besi menggerunkan satu ketika dahulu. Kerana dia jugalah, aku mengacu senapang ke kepala setiap kali membidas tohmahan hati batu jutaan anak bangsa.

Tika malam membawa bintang malap, aku sering bersama temanku si cendawan yang pintar. Petah kata menghambur informasi tika aku hilang arah bukan membuatkan aku terhenti melaungkan keramat REFORMASI, malah di cucuk cucuknya lagi semangat ini. Apa dia juga dalam misi yang sama atau sekadar meluahkan ceritera yang penuh bisa. Cendawan itu benar tumbuh melata, sedikit demi sedikit membiak ke dalam hati dan berbuah menjadikan jiwaku penuh dengan ladang ceritanya.

Bicara ini penuh semangat, adakalanya diterajang generasiku menyumpah kerna tidak kenal erti syukur. Bosan aku mendengar kata sekadar manis di bibir, apa 50 tahun Malaysia merdeka aku masih bebal menerima kemajuan yang dicipta maha firaun yang dilabelkan oleh mereka?

Bingung dan terus kecamuk kotak kecil minda yang pernah hilang kesan sejarahnya. Aku tidak mampu menjadi sekental pejuang Malaysia di zaman kegeringan abad sebelum merdeka, apa lagi menjadi segagah Tun Teja mengacu keris mempertahankan nama Melayu. Aku hanya bisa bicara dan terus bicara lantas muntah di atas sekeping kertas menghasilkan racun bagi mereka yang terancam.

Jika esok sudah takdirnya aku dilokapkan kerna butuh keadilan suara marhaen, usah di renung jauh apa kisahnya aku di sebalik sel itu. Aku mahu kalian di luar ini terus menggegar hak yang sudah dirompak. Kalau hingga akhirnya, air laut masin bertukar menjadi sungai yang tawar, bersyukurlah jua kerana masih disalurkan sumber tidak ternilai itu. Usah dikeluh dan dtabur garam se'tan' ke dalamnya kerna tidak pasti ia mampu mengubah takdir NYA.

Katakanlah pada mereka, aku masih tidak gugup menentang mata samseng berlesen (polis) itu. Pakcik Anwar Ibrahim sudah menempelkan ilmu kekebalannya dalam dadaku. Pakcik yang membuatkan aku setiap hari gila menentang mereka bersikap zionis itu tidak puas puas menyuntik aku dengan semangatnya.

Harinya hampir tiba, seluruh gagasan ini harus bersatu melakukan perubahan. Hadhari tidak relevan lagi, keris di acu kelangit tidak bisa membelah bumi. Sebentar lagi, aku mahu lihat anak bangsa generasiku tidur lena bersama mimpi indah. Tidak lagi mengigau di remang subuh menjerit mahukan hak dikembalikan. Tidak lagi berjurai airmata melihat anak di medan perang (institusi pendidikan) tidak terbela nasibnya.

Jemariku genggamlah, biarpun ada sedikit kasar pada permukaan telapaknya namun aku mahu kau rasai gelombangnya. Mari, gapailah jemariku ini, dakaplah bahuku ini jika mahu malam ini kita tidur lena. Pakcik Anwar Ibrahim itu bawa cerita gembira untuk kita. Ceritakanlah lagi.......