04 February 2008

~~Sebentar Lagi Kita Pasti Tidur Lena~~

Di hambat lewat petang yang kian murung, langit biru menjadi semakin kelabu dan aku masih terus menjadi mat jenin merangka esok yang kelam. Ketakutan meredah arus sungai yang kian lesu membingungkan secebis hati bertanyakan khabar mereka tika lena diselubungi mimpi gerun yang panjang.

Mata ini semakin tajam menonton melalui mikroskop atas nama mencari jati diri yang terhuyung hayang. Kadang kala terasa lesu, bila tibanya melihat lautan manusia bah melanda dataran tanah yang rata. Hati terus di asak oleh gelombang maut jeritan REFORMASI.

Aku tidak sehebat penulis bertaraf sasterawan negara, apatah lagi menggegar isi hati marhaen seperti lantangnya suara Hishamudin Rais, Amin Black, Kamal Amir dan ramai lagi diluar sana. Mata penaku tumpul mengatur buah langkah seperti mereka yang ternama.

Seperti mengejar bayang bayang, aku hanya mahu menjadi benteng bersama perjuangan Bapa Reformasi 'Anwar Ibrahim'. Apa kena dengan orang tua itu? Setiap petah katanya menghantar aku ke medan perang, memakaikan aku perisai baldu. Dia hanya anak watan yang cintakan bangsa dan negaranya, pernah juga dia dihumban ke dalam sel besi menggerunkan satu ketika dahulu. Kerana dia jugalah, aku mengacu senapang ke kepala setiap kali membidas tohmahan hati batu jutaan anak bangsa.

Tika malam membawa bintang malap, aku sering bersama temanku si cendawan yang pintar. Petah kata menghambur informasi tika aku hilang arah bukan membuatkan aku terhenti melaungkan keramat REFORMASI, malah di cucuk cucuknya lagi semangat ini. Apa dia juga dalam misi yang sama atau sekadar meluahkan ceritera yang penuh bisa. Cendawan itu benar tumbuh melata, sedikit demi sedikit membiak ke dalam hati dan berbuah menjadikan jiwaku penuh dengan ladang ceritanya.

Bicara ini penuh semangat, adakalanya diterajang generasiku menyumpah kerna tidak kenal erti syukur. Bosan aku mendengar kata sekadar manis di bibir, apa 50 tahun Malaysia merdeka aku masih bebal menerima kemajuan yang dicipta maha firaun yang dilabelkan oleh mereka?

Bingung dan terus kecamuk kotak kecil minda yang pernah hilang kesan sejarahnya. Aku tidak mampu menjadi sekental pejuang Malaysia di zaman kegeringan abad sebelum merdeka, apa lagi menjadi segagah Tun Teja mengacu keris mempertahankan nama Melayu. Aku hanya bisa bicara dan terus bicara lantas muntah di atas sekeping kertas menghasilkan racun bagi mereka yang terancam.

Jika esok sudah takdirnya aku dilokapkan kerna butuh keadilan suara marhaen, usah di renung jauh apa kisahnya aku di sebalik sel itu. Aku mahu kalian di luar ini terus menggegar hak yang sudah dirompak. Kalau hingga akhirnya, air laut masin bertukar menjadi sungai yang tawar, bersyukurlah jua kerana masih disalurkan sumber tidak ternilai itu. Usah dikeluh dan dtabur garam se'tan' ke dalamnya kerna tidak pasti ia mampu mengubah takdir NYA.

Katakanlah pada mereka, aku masih tidak gugup menentang mata samseng berlesen (polis) itu. Pakcik Anwar Ibrahim sudah menempelkan ilmu kekebalannya dalam dadaku. Pakcik yang membuatkan aku setiap hari gila menentang mereka bersikap zionis itu tidak puas puas menyuntik aku dengan semangatnya.

Harinya hampir tiba, seluruh gagasan ini harus bersatu melakukan perubahan. Hadhari tidak relevan lagi, keris di acu kelangit tidak bisa membelah bumi. Sebentar lagi, aku mahu lihat anak bangsa generasiku tidur lena bersama mimpi indah. Tidak lagi mengigau di remang subuh menjerit mahukan hak dikembalikan. Tidak lagi berjurai airmata melihat anak di medan perang (institusi pendidikan) tidak terbela nasibnya.

Jemariku genggamlah, biarpun ada sedikit kasar pada permukaan telapaknya namun aku mahu kau rasai gelombangnya. Mari, gapailah jemariku ini, dakaplah bahuku ini jika mahu malam ini kita tidur lena. Pakcik Anwar Ibrahim itu bawa cerita gembira untuk kita. Ceritakanlah lagi.......

20 January 2008

~~Pari Pari layangkan Tinta Ini Buat Adik SHARLINIE~~




Owh adikku Sharlinie...

Di manakah kau menghilang? Adakah kau sihat ketika ini? Bagaimana dengan penyakit asthma yang menjadi sakit sejak lahirmu itu? Apakah kau masih mampu tersenyum dan berlari gembira di luar sana bersama teman teman? Aku dihujani seribu satu pertanyaan buatmu. Aku ditujah perasaan pilu atas kezaliman terhadapmu ini adikku.

Owh adikku Sharlinie...

Kau jangan bimbang lagi, tenangkan hatimu, berdoalah kepada ALLAH swt agar kau dilindungi olehNYA. Kau harus terus tabah menghadapi ujian ini, kau dizalimi adikku. Setiap saat keluhanmu akan dibalas dengan keluhan juga bila tiba masanya. Jangan berhenti dari terus mengharap, sapu airmatamu lekas dan tenanglah sementara kami di sini berusaha mencarimu. Kau tidak keseorangan! Mari aku peluk tubuhmu dan menghangatkan semangatmu yang kian beku.

Owh adikku Sharlinie...

Aku akan terus di sini bersama seluruh penduduk bumi mendoakan kesejahteraanmu. Malam malamku sering diiringi dengan doa yang tak putus untuk bekalan semangatmu. Aku tahu kau tersiksa di sana, kau tidak lagi bisa impikan saat berlarian di padang bersama teman dan saudara. Kau juga pastinya rindukan belaian kasih ibu dan ayah. Sabar adikku, kau harus terus kuat menempuh ujian ini. Kau tidak bersendirian, kerna aku sering dalam mimpimu bila kau terlena. Jemariku sentiasa menggengam erat kudrat lesumu.

Sharlinie sayang,

Janganlah kau murung dan muram, aku mengerti sengat bisa yang kau tanggungi ketika ini. Kau pasti rindukan masakan ibumu, hilai tawa saudara saudaramu, celoteh guru di sekolah, petang yang menghiburkan, kartoon di kaca tv yang melucukan dan lena yang tenang. Tika ini, aku merasai kepiluanmu adikku. Benar, bukan omong kosong, aku benar mengerti nuranimu.

Ketakutan sering menjadikan airmatamu tak henti mengalir, kezaliman sentiasa membuatkan dirimu semakin pedih. Sapu airmatamu adikku, telah ku katakan...kami di sini sentiasa mendoakan kesejahteraanmu. Tidak seminit pun doa dan usaha ini luntur sayangku.


KAU YANG TERPESONG MORAL,

Pulangkan adikku ini, pulangkan ceria di hatinya. Kau pasti lalui zaman kanak kanakmu dengan penuh gembira atau mungkin tersiksa, namun ini bukan caranya kau merampas kebahagiaan hati anak kecil itu. Dia hanya 5 tahun, tidak mengerti erti hidup dan masih mentah dalam melalui kekejaman yang kau cipta untuknya.

Kembalikan dia ke pangkuan keluarga, kau juga pasti punya saudara kandung bukan? Kau harus tahu betapa pedihnya jika mereka dianiaya. Usahlah kau turut nafsumu wahai hamba ALLAH. Masih belum tertutup pintu taubat untukmu, masih terbuka luas kemaafan di sisi ALLAH jika kau telah melakukan dosa besar.

Tetapi, janganlah kau ragut senyuman adik Sharlinie ini, dia hanya anak kecil yang tidak bisa mengikut kehendak nafsumu. Berikan dia ruang meniti bahagia! Kau tidak harus rampas kebahagiaan itu. Pulangkan atau kau disumpah sekalian alam.

Adikku Sharlinie,

Bersabarlah sementara kami masih terus mencarimu tanpa jemu. Jika pari pari bisa menerbangkan kata kataku ini, bisikkanlah padanya bahawa aku sentiasa ada dalam kegelapan yang dirasakan. Aku tak akan biarkan adikku ini keseorangan.

Tolonglah pari pari, bawakanlah rencanaku padanya yang mungkin hilang arah ketika ini. Anak kecil ini punya cita cita dan harapan, impian dan angan angan. Mungkin dengan semangat yang aku berikan ini dapat ku kongsi gelap pekat malam hitam itu.

Ya Allah, Tuhan yang maha Pengasih, Pencipta Sekalian Alam,

Jauhkanlah perkara hitam yang bisa menggelapkan nurani adik ini. Sematkanlah kekuatan di jiwanya. Hambamu yang kerdil ini saban malam menangisi kezaliman terhadap anak yang tidak berdosa. Hanya padamu aku memohonb Tuhanku! Tuhan yang satu...

Amiin....



07 January 2008

~~Aku Tewas Dalam Asakan Prejudis~~

Aku lelah dengan percaturan minda
Mahu berhenti di semak gelora
Tersadung di celah rumpun akar belenggu
Menular peritnya di sesak jiwa

Aku hanya mahu beri dan menerima
Segala akal dan semangat yang lantang
Berhimpun di tengah kekuatan mara api
Tapi seringnya layu sebelum berkembang

Maafkan aku jika tidak bisa berlagu semerdu kalian, jiwaku tersepit antara semangat dan marak api meledak. Hanya aku bisa mengerti kerna akalku tidak terlayang olehmu. Kakiku melangkah selama ini bersama angin nafas baru, tidak seperti kamu yang kental saat di asak gebu awan. Aku mahukan yang terbaik untuk kita sama sama terjah menongkah arus, tapi niat ini adakalanya dipesongkan olehmu. Kerna apa aku masih terus utuh dan teguh?, bukan kerna nama atau pangkat yang melalaikan tapi untuk semesta lahir dengan nafas baru.

Aku tidak tegar berlari jika kakiku di hambat, kau mungkin layak merentas bara api biarpun dicincang seribu, sedang aku hanya mengebar layar senja yang mahu berlabuh. Teruskan langkahmu kalian, aku biar jadi pengomel kekusutan bangsa. Semangatku akan terus teguh dalam kata kata janji kita.

Maafkan aku jika tidak ada erti kejujuran dalam bait kataku, hanya jemari menari yang bisa mengaut rentetan hati pedih. Salam penuh lantang bicara dalam kata berbaur cinta pada bangsanya!

26 November 2007

~~Amanat Aku Buat Kamu~~

Bergegar tiang negara bila diasak oleh isu perkauman yang kian meruncing. Apa kerajaan masih tidur dengan lena hari ini pabila mimpi mereka dikecam pejuang bangsa - bangsa yang ketagih erti keadilan?

Dengan berjayanya Perhimpunan Aman BERSIH 10hb November lalu, rakyat kita bangkit dengan semboyan baru yang menuntut pelbagai isu hak asasi di mana selama ini kabur dan kelam ditelan rakus parti kerajaan. Kini bangsa India tegak meruncing mempersendakan melayu-melayu MAJU kononnya dalam barisan tertinggi kerajaan.

Jangan cabar saya, jangan cabar kerajaan saya, jangan cabar ego saya! Itulah kata mual yang dilaungkan oleh Pemimpin Islam Hadhari yang tak sedar diri. Apa tidak jelas lagikah rakyat marhain hari ini sudah memijak kepala dan maruah anda dalam mencari keadilan di bumi keramat?

Perhimpunan yang sering dinantikan oleh Anjing Negara bersenjatakan gas beracun dan air gatal hanyalah sekadar duri tidak berbisa buat rakyat. Selepas ini mungkin mereka akan mengacu senapang Rifel yang berpeluru racun tikus untuk melemahkan semangat rakyat, atau mungkin bom tangan berisi asid pemusnah. Apa mungkin rakyat bisa gentar dengan segala itu sedang bila hati mereka diasak asak mencari kebenaran dan ketulusan di tanah keramat ini?

Usah disogok dengan sejarah lama yang mana sekadar manis mulut sahaja, sedang pasti hari ini itu semua tertinggal di muzium bersejarah semata. Lemas dalam percaturan keji barisan pemimpin PANTANG DICABAR, mual dan loya penjilat buntut AHLI MAJLIS TERTINGGI kerajaan. Akhirnya aku terjebak melangkah mara bersama pejuang keadilan menuntut hak aku sebagai anak jati BUMI KERAMAT.

Kalau rakyat tak gentar dengan das gas beracun, aku lebih dahulu bersedia di tendang ke dalam lokap haprak anjing negara. Kalau rakyat mara dengan panji keikhlasan, aku lebih lagi bersedia menjulang semboyan REFORMASI yang amat ditakuti anjing anjing itu.

Kau perlu tahu wahai Pakcik Hadhari, aku tak gentar menentang kedalam matamu dan menyumpah bersama 7 petala langit untuk menggegarkan kerajaanmu. Aku tidak bersenjata sepertimu, tidak juga punya kroni berbillion billion sepertimu, duit dalam poket jua jauh kurangnya darimu TAPI AKU bisa bangun menggalas hak rakyat yang kau rampas satu persatu.

Jika kau mahu mengikut kerdil tubuh ini, tunduk pada semangat juangku ini, aku terus setia menanti dan membawa kau pulang! Lautan rakyat melaung HAK KEADILAN takkan terkubur biarpun kau cemuh perjuangan kami. KAMI TIDAK GENTAR!

Aku harus pinjam kata pemimpin berkaliber dan berkarisma, Dato Sri ANWAR IBRAHIM, LAWAN TETAP LAWAN...REFORMASI!!!!!